Isnin, 2 November 2009

Yadim Kehilangan Potensi Pimpinan Yang Hebat





Antara ulamak yang mempunyai paling ramai pengkagum kini ialah bekas Mufti Perlis Dr. Asri. Baru baru ini beliau dkhabarkan sebagai menerima tawaran untuk mengepalai Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM). Ramai orang meletakkan harapan yang besar agar beliau menerima pelawaan itu kerana dirasakan peranan itu termat memerlukan kewibawaan beliau. 

Rupa rupanya beliau menolak. Hamba menjadi tidak faham kerana hamba tidak tahu puncanya. Kini barulah hamba faham. Beliau terkilan kerana difitnah oleh suara resmi sebuah NGO yang sepatutnya dihormati oleh ramai juga. Namun apabila terlaksana fitnah bodoh itu habislah kehormatan masyarakat terhadap NGO itu. 

Barangkali ahli ahlinya harus memikirkan sesuatu tindakan wajar diambil untuk mengembalikan pengiktirafan masyarakat umum terhadapnya kerana dengan kepimpinan yang ada itu reputasinya sudah musnah dimamah oleh keyakinan orang ramai terhadap kejujuran dan pengiktirafan terhadap Dr. Asri. 


Sekali sekali terfikir juga hamba sama ada Dr. Asri telah merajuk kerana kecil hatinya. Fikir punya fikir mungkin juga tidak kerana arus kehidupan memang begitu. Hamba sendiri pun semenjak 12 tahun yang lalu telah membuat keputusan untuk tidak tersangkut dengan sebarang jawatan. Malahan hamba telah sekaligus mengambil pendirian untuk tidak mempunyai sebarang perniagaan juga; dan telah menamatkan operasi beberapa syarikat yang hamba miliki. Itu hamba yang kecil ini. Yang tidak mampu pun untuk memberi cetusan yang boleh disedari orang. 

Kalau dengan wibawa dan potensi Dr. Asri yang hebat itu tentulah musuh lumrahnya banyak dan boleh mengirim keganasan melalui pelbagai rupa dari pelbagai arah. Serangan bodoh dari PGSM yang mengakibatkan gurisan bernanah dihati Dr. Asri itu adalah satu contoh sahaja. 

Maka hari ini hamba menjadi yakinlah akan kebijaksanaan keputusan Dr Asri itu disamping menjadi bertambah yakin juga dengan keputusan hamba sendiri untuk mengelak dari sebarang jawatan dan perniagaan juga. 

Cuma hamba terpaksa sekali sekali menjual harta sedia ada untuk meneruskan perjuangan. Diharapkan banyak pihak akan silih berganti menjaga kebajikan Dr Asri supaya beliau tidak terpaksa menanggong beban seperti hamba. Beliau itu terlalu penting untuk ugama, bangsa dan tanah air.


Dengan harapan agar para pembaca memahami dengan lebih jelas akan perasaan Dr. Asri sehingga mengakibatkan beliau kelihatan seperti merajuk itu hamba salinkan dua catatan keluhannya yang hamba chedok dari laman Penghuni Gua (Terima Kasih PG).


Itulah resam perjuangan, tuduhan dan fitnah menghiasi perjalanan. Saya tidak terkejut apabila PGSM dalam laman web membuat memorandum fitnah kepada Yang di-pertuan Agong membantah saya. Dalam memorandum yang kononnya disokong oleh beberapa NGO itu antaranya menyebut:

“Beliau juga tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari”. Bahkan fitnah lebih dahsyat daripada itu disebut:

“Beliau juga mencerca para ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka”. Astaghfirullah, di manalah bukti mereka dalam hal ini. Adakah mereka dapat buktikan dari tulisan atau ucapan saya. Tidakkah mereka rasa takut di mahkamah Allah dengan tuduhan sebegini.

Lebih hairan lagi, tidakkah sebagai persatuan peguam mereka sepatutnya mendapatkan bukti terlebih dahulu, bukan terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang memberi maklumat palsu. Namun, ini tidak pelik. Ia telah berlaku sebelum ini, ia akan berulang dan terus berulang.

Kita boleh berbeza pendapat. Sama ada saya atau sesiapa pun bercakap atau tidak, dunia globalisasi ini akan mendedahkan rakyat kepada berbagai-bagai maklumat. Namun, memfitnah orang, apatah lagi atas nama NGO Islam adalah tidak wajar.

Memfitnah termasuklah dalam soal dosa dan pahala. Allah melarang kita menerima maklumat yang disampaikan oleh orang lain melainkan setelah diselidiki. Firman Allah: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat, ayat 6).

Dan seterusnya satu lagi keluhan Dr. Asri yang (juga hamba petik dari laman PG) yang di catat oleh: 

Hazirah Che Sabmailto:Sabzeehan@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berkata beliau tidak akan menerima jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang ditawarkan kepadanya berikutan kontroversi yang timbul daripada memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agong membantah pelantikan itu.

Pada sidang media di rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini, malam tadi, beliau mendakwa, jawatan itu ditawarkan kepadanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom, pada Ramadan lalu dan sekali lagi ketika dijemput memberi kuliah pada Kursus Orientasi Perdana anjuran Umno di Janda Baik awal bulan lalu. “Dakwaan yang dibuat terhadap saya dalam memorandum itu adalah satu pembohongan dan fitnah. Ia adalah tuduhan yang sangat besar membabitkan maruah saya dan boleh memecahbelahkan umat Islam.

“Sebenarnya saya langsung tidak terfikir mengenai jawatan itu apabila ditawarkan. Saya belum membuat keputusan dan masih menimbangkannya tetapi dengan apa yang berlaku sekarang saya sudah tidak berminat lagi dengan jawatan itu,” katanya.

Beliau berkata, keputusan itu juga selepas mendapatkan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat lebih baik beliau menjadi suara ketiga daripada memegang jawatan dalam mana-mana agensi kerajaan. Dalam memorandum berkenaan yang salinannya turut diedarkan Dr Mohd Asri kepada media, persatuan berkenaan mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari.

Memorandum itu turut mendakwa Mohd Asri mencerca ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali. Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, Mohd Asri turut mencabar PGSM mengemukakan bukti beliau mencerca Imam Ghazali dan Imam Nawawi serta menolak hadis Imam Bukhari melalui ucapan atau tulisannya.

“Saya tidak kisah jika mereka ingin menghantar memorandum kerana itu hak mereka dan saya juga boleh menerima jika mereka mengkritik pandangan saya dan berkata pandangan saya berlainan daripada ulama lain. Tetapi apa yang terkandung dalam memorandum itu satu fitnah dan pembohongan. “Sebab itu saya rasa perlu memanggil sidang akhbar ini untuk membuat penjelasan,” katanya yang mengakui mengetahui apa disifatkannya sebagai ‘dalang’ di sebalik memorandum itu.

Katanya, beliau belum terfikir untuk menyaman PGSM tetapi mencabar mereka mengemukakan bukti dakwaan dalam memorandum itu dalam masa seminggu. Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti politik, Mohd Asri berkata, pada masa ini, beliau tidak berminat. “Saya pernah dipelawa menyertai Umno dan Pas sebelum ini tetapi saya tidak berminat. Buat masa ini saya lebih selesa menjadi suara ketiga tanpa menyertai mana-mana parti politik,” katanya.



Jawap beliau di atas sekaligus memberi keputusan terhadap berita berkepentingan yang disebarkan oleh pihak pihak berhajat tertentu. Kita semua sudah kenal pihak itu yang memang cekap memikat dengan lunak janji dengan manis kata mereka. Namun jawapan sudah jelas kini. Perkara ini harus disebarkan seluasnya kerana sedikit sebanyak cerita cerita begitu menjejaskan nama baik Dr. Asri yang hebat itu. Biarlah kehebatan itu kekal berterusan untuk tetap bertahan gah dalam menyampaikan kebaikan tersendiri kepada umat seluruhnya. 

Inshaallah.

4 ulasan:

  1. Salam, ada juga blog pro pembangkang seolah-olah menuduh kerajaan UMNO-BN yang menaja penangkapan Mohd Asri.

    Tidakkah mereka sedar, Selangor dibawah kerajaan pakatan rakyat yang mana Dr Hasan Ali adalah Exconya, sepatutnya pihak JAIS lebih peka dengan isu ini kerana kerajaan pakatan yang menentukan arahan penangkapan.

    Mengapa mesti timbul perkataan isu politik dalam penangkapan tersebut...

    BalasPadam
  2. Harap beliau tabah dan tenang menghadapi ujian ini. Sedangkan Rasulullah pun Allah uji...

    BalasPadam
  3. Begitulah harapan kita dan seterusnya beliau tetap kembali kepada peranannya dan tetap aktif dalam realiti serta kehendak sebenar dalam realiti masyarakat dengan kebijaksanaan yang tidak tergugat. Inshaallah.

    BalasPadam
  4. sudah sunnah orang yang berjuang..mengembara dan berkelana..diuji dan dihina...dicaci dan diperlekehkan..dan akhirnya di penjara...

    JANGAN JADIKAN ISU INI ISU POLITIK. BAIK UMNO @ PAS @ PKR.

    catatanhamba.blogspot.com

    BalasPadam

Siapa pun berhak kata apa sahaja. Cuma hak itu sah selagi tanggong jawabnya masih ada. Maka siapa pun yang merasakan ikhlas bertanggong jawab, silakanlah catat apa sahaja. Semuga terbuka lorong pemikiran lebih jauh lagi bagi kita semua.