Pernahkah kita beri pengertian tentang kelayakan seseorang sebagai warganegara yang bermutu kepada sesebuah negara ? Bagi negara Malaysia sedar atau tidak kita ada alat pengukur mutu yang kita panggil Rukun Negara. Apakah yang dimaksudkan dengan rukun. Dalam banyak hal kita difahamkan kalau rukunnya ralat atau cicir maka akan batallah sesuatu itu. Maka adakah seseorang yang gagal melengkapkan sikap dan pegangan prinsip hidupnya pada teras Rukun Negara itu akan gugur taraf kewarganegaraannya ? Tentulah tidak.
Malahan kita ada berbagai kriteria lain seperti yang terkandung dalam Bahagian 3 dan kaitan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang sesungguhnya memberi kayu ukur yang sesungguhnya sudah cukup keras. Namun segalanya masih tetap diremehkan kerana barangkali alasan tidak faham dan malahan tidak akan dikuatkuasakan dan sebagainya punca untuk terus menerus memandang sepi akan kendiri warganegara yang sepatutnya itu.
Untuk lebih mudah difahami sehingga lebih mudah menjadi pegangan atau setidaknya dapat diajarkan supaya menjadi lebih mudah dihayati sehingga menjadi pegangan; maka telah terciptalah, (selepas tragedi 13 Mei 1969 dahulu) apa yang kita kenali sebagai Rukun Negara. Namun penggunaan istilah rukun itu tidak pernah diberikan pengertian mendalam sehingga ia menyentuh hati hati kita semua. Maka gagallah kita dari merasakan bahawa kegagalan menghayati dan menganut Rukun Negara itu boleh membawa pengertian kepada keguguran taraf WARGANEGARA BERMUTU yang sepatutnya menjadi teras kepada jatidiri kita.
Seterusnya cuba kita bacakan rukunnya satu persatu dengan sedikit ulasan dan pengertian:
- KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN: Sedarkah kita bahawa sesiapa yang mahu sesungguhnya menjadi atau dikenali atau dihormati sebagai warga kepada negara bergelar Malaysia ini perlu kena ada kepercayaan keagamaan. Tak kira apa pun agamanya kerana adalah difaham bahawa bernama agama itu pastilah ada kepercayaan ketuhanannya. Dalam hal ini kita pun menjadi kelirulah dengan orang yang tidak beragama. Harap harap masih adalah kepercayaan mengenai keujudan ketuhanan baginya. Namun ini masih bermaknanya bahawa fahaman evolusi yang mempercayai keujudan kejadian dan kelahiran alam dan kehidupan ini sebagai satu proses asasi kejadian. Secara tepatnya mereka yang tidak ada kepercayaan tentang keujudan Tuhan adalah tidak layak menjadi warganegara (bermutu) Malaysia. Yang demikian tentulah tidak layak langsung ia diangkat menjadi pemimpin atau kata katanya kita ikut.
- KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA: Sudah semenjak dahulu lagi jelas rupanya konsep Raja Berpelembagaan yang baru distilahkan dalam tahun l980an itu. Demikian rupanya kebijaksanaan para pemimpin dahulu kala mengatur nilai kenegaraan berperinsip yang kejat tersirat. Maka janganlah ada lagi kecenderungan untuk mempersoalkan atau mempermainkan kedudukan raja raja kita di takhtanya dan kedaulatannya. Janganlah ada lagi cita cita nak di repbulikkan sistem negara kita ini. Ia sudah jelas kejat tersirat dalam zat pembinaan sistem nilai yang sudah sekian lama kita anut itu.
- KELUHURAN PERLEMBAGAAN: Kita ulangkan ayat berazimat, 'kejat tersirat dalam zat pembinaan sistem nilai,' yang sudah sekian lama termaktub dalam kerangka nilai yang menggarap Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Maka hendaklah kita sedari bahawa rukun negara ini juga adalah satu penerusan berhikmah kerana sesungguhnya ia masih dirangka oleh generasi penggembeling Perlembagaan Persekutuan itu juga. Maka sesiapa yang mahu dikenalpasti sebagai warganegara bermutu hendaklah jangan ia wenang wenang membolak balikkan perlembagaan berhikmah dan luhur itu.
- KEDAULATAN UNDANG UNDANG: Dari perlembagaan berhikmah itulah telah kita terbitkan berbagai undang undang yang kita harap didaulatkan oleh kita semua. Janganlah hendaknya ada pihak yang konon mahu disenaraikan sebagai pemimpin tetapi menggunakan minda licik dan ketangkasan berhujah hendak mempersendakan dan mempermainkan undang undang kita. Kerja demikian sudah kita mengertikan sebagai mempersendakan kedaulatan undang undang. Apa lagi kalau ada pihak yang cuba untuk membuat bantahan terhadap ketulusan penguatkuasaan peraturan dan undang undang itu. Janganlah ada pihak, yang sebelum lagi para hakim, (yang ariff dan bijaksana) membentangkan keputusan mereka persediaan untuk mencabarnya sudah pun dibuat. Siapa yang kelak mengikutnya adalah tidak kurang parahnya.
- KESOPANAN DAN KESUSILAAN. Merumuskan segalanya maka jadilah seorang warganegara yang mulia itu bersopan dan bersusila. Janganlah kelak ada pihak yang nak kita tarafkan sebagai pemimpin atau sekadar pengikutnya yang cuba cuba secara langsung atau tidak langsung menyokong atau memberi ruang kepada ketidak sopanan yang menyongsang susila itu.
Wassallam.