Tiba2 muncul satu keinginan untuk mula mencatat kenangan2 bermakna dalam hidup hamba. Timbul kerana memikirkan usia yang sudah cukup lanjut. Kesah2 itu akan hilang begitu sahaja. Barangkali juga pandangan hamba cuma perasan sendiri, padahal orang lain, apa lagi generasi kini yang lahir dalam kemewahan yang lumayan, tidak kesah dan tidak nampak sebarang makna pun. Shahdan catatan ini adalah bertujuan untuk menyemak kenangan yang masih layak disimpan dalam ingatan. Layakkah ia direstukan terus menggarap nilai kepada otak ingatan yang semakin menyempit dan seterusnya memberi kesan kepada cambahan otak fikir yang sepatutnya sentiasa mencari ruang untuk bercambah kembang memanjang alir jalarnya.
CATATAN PEMULA:
Hamba dilahirkan pada penghujung zaman perang dunia ke 2. Pada masa itu khabarnya Jepun yang menanggong akibat yang parah kerana kesan mengembang dari bomb hydrogen di Hiroshima dan Nagasaki. Bomb yang terhasil di Amerika dari formula yang diolahcipta oleh seorang ahli fizik bangsa Yahudi, seorang kerani bank di Switzeland itu rupanya mampu menjalarkan punah yang terlalu parah sehingga memaksa Jepun untuk menyerah kalah. Pengakuan yang payah untuk diungkapkan kerana istilah menyerah kalah itu tidak pernah ujud dalam bahasa dan budaya bangsanya.
Usia hamba baru 17 hari dan khabarnya Jepun sudah beberapa hari memperakui kekalahannya. Tiba2 ruang udara menjadi bising dengan bunyi2 yang menakutkan. Pantai2 di Terengganu DI telah diserang oleh kapal2 terbang B 29 kepunyaan pihak tentera berikat. Bedilan dari kapal2 selam pula menuruti pada hari berikutnya sambil masih jua diperhebatkan oleh B 29. Ibu dan nenek hamba menceritakan betapa pokok kelapa yang satu menjadi menjadi 2 kerana terputus dan keratan atasnya tercacak ke bumi. Ada juga yang terbelah dan terus menjadi 2. Huru hara kecoh ini dapat ditatap dengan teliti dalam novel DIBAWAH ALUNAN OMBAK karya Dato' Abdul Rashid Ngah terbitan DBP.
Dikhabarkan juga bahawa serangan itu diteruskan kerana tentera berikat sedang mencari 2 orang Jepun yang dikatakan terlalu jahat. Padahal orang2 yang dikatakan itu tidak diketahui pun berada di mana. Yang parah menanggong siksa ialah rakyat desa2 dibumi ini. Derita siksa berpanjangan itu telah juga memisahkan ibu dan ayah hamba.
Maka mudahlah bagi hamba memahami kesah2 kini dimana bumi2 yang lemah begitu mudah diserang dan dihancurkan, hanya kerana sebab2 yang rameh atau sebenarnya tiada pun sebabnya malahan kadang2 sengaja diada2kan. Pokoknya serangan itu perlu bagi mereka.
(ini cuma satu permulaan. jika didapati menarik akan hamba teruskan)
Memaparkan catatan dengan label Catatan Harian.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Catatan Harian.. Papar semua catatan
Selasa, 30 Jun 2009
Langgan:
Catatan (Atom)
