Selasa, 21 Julai 2009

Keseimbangan dan Peluang.

1964 – Hamba telah lulus School Certificate (SC) dengan 2 agregate lagi untuk mendapat pangkat 2. Namun dengan pangkat 3 itu pun seluruh keluarga sudah cukup berbangga membaca nama hamba disenaraikan dalam surat khabar bersama nama2 yang lulus dari seluruh Negara. Kesempatan untuk terus menyambung ke tingkatan 6 tidaklah hemba dapat kerana pada masa itu hanya 6 orang sahaja daripada 57 orang murid tingkatan 5 dipilih untuk menduduki ujian kelayakan yang dijalankan di Kota Bharu.

Walau bagaimana pun semua anak Besut yang lulus SC dalam tahun tahun seawal tahun hamba lulus itu telah terus mendapat kesempatan untuk menjadi guru sementara. Malahan mereka yang gagal pun masih juga ramai yang mendapat kesempatan yang sama dengan menggunakan Lower School Certificate (LCE). Maklumlah Negara baru merdeka dan anak Melayu apa lagi dari Besut (daerah yang termundur dalam negeri Terengganu yang jauh ketinggalan) rata ratanya tidak ada pendidikan formal.

Pada masa itu untuk mengisi jawatan sebagai kerani pun terpaksa diimport dari Perak, Penang, NS dan Johor. Hamba pun telah diterima menjadi Kerani Negeri (Bahagian Tinggi) dengan Kerajaan Negeri Terengganu DI (kalau mendapat pangkat 2 dan ada hubungan dengan pihak tertentu dah dapat terus jadi Pegawai Tadbir Negeri (TCS).
Bangganya hamba dan seluruh keluarga. Apa tidaknya hamba adalah anak Besut yang ke 7 menjadi Kerani Tinggi dalam perkhidmatan Kerajaan Negeri. Malahan kalau diambil kira dengan jawatan kerani rendah pun hamba baru orang ke 11 dari Besut.

Persoalan yang terfikir pada hamba kini ialah kesempatan untuk belajar dan menimba pengalaman begitu baru kita dapat. Apakah wajar generasi anak2 hamba kini diberi syarat samarata untuk bersaing sama rata. Apakah Perkara 153 dalam perlembagaan Negara yang memberikan hak istimewa kepada orang Melayu yang telah dinapikan hak dan kesempatan membina keupayaan diri untuk mampu bersaing secara adil setelah selama 446 tahun terjajah itu sudah wajar dihapuskan.

Apakah susutan kekuatan kendiri dan jatidiri yang dilemahkan oleh tekanan dan penyisihan selama itu sudah dapat dihimpun kembali sesudah 52 tahun kita merdeka ? 52 tahun berkuasa memerintah sendiri dalam kalut berhelah dengan berbagai tekanan serta onar terancang ?

Tiba tiba teringat hamba kepada satu slogan yang diterbit dan selalu disebut sebut oleh Dato Idris Jusoh bekas Menteri Besar Terengganu DI dan kini menyandang jawatan Pengerusi MARA berbunyi: "Tidak ada halangan; cuma peluang." Jadi inilah yang diharapkan, peluang untuk membina sehingga kita sudah sama tinggi waktu berdiri dan sama rendah waktu duduk.

2 ulasan:

  1. Tok Janggut,
    Mana ada kesamarataan dalam mengujudkan persaingan adil? Tak percaya? Saya berikan contoh dalam norma kehidupan kita...
    (Saya pilih contoh dalam bidang sukan, sebab rasanya ia lebih mudah di fahami logiknya tanpa mudah terpesong oleh emosi atau sentimen)

    Lihat permainan golf. Ada sistem "handicap". Tak samarata kan? Tapi adil kan? Yang handicap nya kurang, perlu beri "stroke" kepada pemain yang handicap nya lebih. Baru adil.

    Bolasepak, Piala Dunia contohnya. Kenapa ada sistem kuota? Ada kuota tertentu untuk bilangan pasukan benua Asia, dan juga had tertentu untuk pasukan benua Amerika Latin/Eropah. Kenapa? Supaya, akan lebih adil. Akan ada pasukan2 Asia/Asia Barat berpeluang beraksi di Piala Dunia, dan bilangan pasukan Amerika Latin/Eropah tidak terlalu banyak. Barulah adil. Semua berpeluang beraksi di pentas yang sama. Samada pasukan Asia akan jadi pasukan belasahan, itu soal kedua. Yang penting, PELUANG harus di berikan dulu. Terpulang kepada mereka untuk membuktikan peluang yang di beri adalah tidak di sia-siakan. Jepun membuktikan peluang tersebut di gunakan sebaik-baiknya. Korea Selatan juga begitu.

    Saya boleh memberikan banyak lagi contoh, tapi nanti orang kata saya menumpang blog Tok Janggut pula. Lagi pun, analogi nya dah saya berikan. Tuan2 bijaksana, fikir-fikirkan lah aplikasi konsep "menafikan kesamarataan, bagi mewujudkan keadilan" ini dalam bidang2 lain pula. Insya-Allah, akan sama2 dapat kita lihat, ia memang ada di mana2...

    BalasPadam
  2. Terima kasih kepada Mek. Tok Janggut setuju sangat dengan pandangan Mek. Dan dengan pandangan itulah dalam menilai keadilan pembahagian kek ekonomi antara kaum di Malaysia ini kaum yang sekian lama tetinggalan kerana tiadanya peluang wajar sekali diberi keistimewaan untuk mencari keseimbangan itu. Janganlah kita terlalu pantas mahu meletakkan saingan samarata. Ada satu ungkapan dari buku "The New Barberians" oleh Dunigen berbunyi "we have created enaugh imperfect balance already". Ayat itu diungkapkan oleh seorang "learnerd elders of teh jews". Semuga kita semua tidak akan tergari dalam perangkap itu.

    BalasPadam

Siapa pun berhak kata apa sahaja. Cuma hak itu sah selagi tanggong jawabnya masih ada. Maka siapa pun yang merasakan ikhlas bertanggong jawab, silakanlah catat apa sahaja. Semuga terbuka lorong pemikiran lebih jauh lagi bagi kita semua.