Memaparkan catatan dengan label Budaya.Sejarah.. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Budaya.Sejarah.. Papar semua catatan

Sabtu, 24 Disember 2011

WARGANEGARA BAGI MALAYSIA.


Pernahkah kita beri pengertian tentang kelayakan seseorang sebagai warganegara yang bermutu kepada sesebuah negara ? Bagi negara Malaysia sedar atau tidak kita ada alat pengukur mutu yang kita panggil Rukun Negara. Apakah yang dimaksudkan dengan rukun. Dalam banyak hal kita difahamkan kalau rukunnya ralat atau cicir maka akan batallah sesuatu itu. Maka adakah seseorang yang gagal melengkapkan sikap dan pegangan prinsip hidupnya pada teras Rukun Negara itu akan gugur taraf kewarganegaraannya ? Tentulah tidak. 

Malahan kita ada berbagai kriteria lain seperti yang terkandung dalam Bahagian 3 dan kaitan lain dalam Perlembagaan Persekutuan yang sesungguhnya memberi kayu ukur yang sesungguhnya sudah cukup keras. Namun segalanya masih tetap diremehkan kerana barangkali alasan tidak faham dan malahan tidak akan dikuatkuasakan dan sebagainya punca untuk terus menerus memandang sepi akan kendiri warganegara yang sepatutnya itu. 


Untuk lebih mudah difahami sehingga lebih mudah menjadi pegangan atau setidaknya dapat diajarkan supaya menjadi lebih mudah dihayati sehingga menjadi pegangan; maka telah terciptalah, (selepas tragedi 13 Mei 1969 dahulu) apa yang kita kenali sebagai Rukun Negara. Namun penggunaan istilah rukun itu tidak pernah diberikan pengertian mendalam sehingga ia menyentuh hati hati kita semua. Maka gagallah kita dari merasakan bahawa kegagalan menghayati dan menganut Rukun Negara itu boleh membawa pengertian kepada keguguran taraf WARGANEGARA BERMUTU yang sepatutnya menjadi teras kepada jatidiri kita.


Seterusnya cuba kita bacakan rukunnya satu persatu dengan sedikit ulasan dan pengertian: 


  • KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN: Sedarkah kita bahawa sesiapa yang mahu sesungguhnya  menjadi atau dikenali atau dihormati sebagai warga kepada negara bergelar Malaysia ini perlu kena ada kepercayaan keagamaan. Tak kira apa pun agamanya kerana adalah difaham bahawa bernama agama itu pastilah ada kepercayaan ketuhanannya. Dalam hal ini kita pun menjadi kelirulah dengan orang yang tidak beragama. Harap harap masih adalah kepercayaan mengenai keujudan ketuhanan baginya. Namun ini masih bermaknanya bahawa fahaman evolusi yang mempercayai keujudan kejadian dan kelahiran alam dan kehidupan ini sebagai satu proses asasi kejadian. Secara tepatnya mereka yang tidak ada kepercayaan tentang keujudan Tuhan adalah tidak layak menjadi warganegara (bermutu) Malaysia. Yang demikian tentulah tidak layak langsung ia diangkat menjadi pemimpin atau kata katanya kita ikut. 
  • KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA: Sudah semenjak dahulu lagi jelas rupanya konsep Raja Berpelembagaan yang baru distilahkan dalam tahun l980an itu. Demikian rupanya kebijaksanaan para pemimpin dahulu kala mengatur nilai kenegaraan berperinsip yang kejat tersirat. Maka janganlah ada lagi kecenderungan untuk mempersoalkan atau mempermainkan kedudukan raja raja kita di takhtanya dan kedaulatannya. Janganlah ada lagi cita cita nak di repbulikkan sistem negara kita ini.  Ia sudah jelas kejat tersirat dalam zat pembinaan sistem nilai yang sudah sekian lama kita anut itu.
  • KELUHURAN PERLEMBAGAAN: Kita ulangkan ayat berazimat, 'kejat tersirat dalam zat pembinaan sistem nilai,' yang sudah sekian lama termaktub dalam kerangka nilai yang menggarap Perlembagaan Persekutuan itu sendiri. Maka hendaklah kita sedari bahawa rukun negara ini juga adalah satu penerusan berhikmah kerana sesungguhnya ia masih dirangka oleh generasi penggembeling Perlembagaan Persekutuan itu juga. Maka sesiapa yang mahu dikenalpasti sebagai warganegara bermutu hendaklah jangan ia wenang wenang membolak balikkan perlembagaan berhikmah dan luhur itu.
  • KEDAULATAN UNDANG UNDANG: Dari perlembagaan berhikmah itulah telah kita terbitkan berbagai undang undang yang kita harap didaulatkan oleh kita semua. Janganlah hendaknya ada pihak yang konon mahu disenaraikan sebagai pemimpin tetapi menggunakan minda licik dan ketangkasan berhujah hendak mempersendakan dan mempermainkan undang undang kita. Kerja demikian sudah kita mengertikan sebagai mempersendakan kedaulatan undang undang. Apa lagi kalau ada pihak yang cuba untuk membuat bantahan terhadap ketulusan penguatkuasaan peraturan dan undang undang itu. Janganlah ada pihak, yang sebelum lagi para hakim, (yang ariff dan bijaksana) membentangkan keputusan mereka persediaan untuk mencabarnya sudah pun dibuat. Siapa yang kelak mengikutnya adalah tidak kurang parahnya.
  • KESOPANAN DAN KESUSILAAN.  Merumuskan segalanya maka jadilah seorang warganegara yang mulia itu bersopan dan bersusila. Janganlah kelak ada pihak yang nak kita tarafkan sebagai pemimpin atau sekadar pengikutnya yang cuba cuba secara langsung atau tidak langsung menyokong atau memberi ruang kepada ketidak sopanan yang menyongsang susila itu. 
Pada menyimpulkan rumusan kepada tulisan ini hamba menyusun sepuluh jari memohon maaf kalau ada antara huraian hamba dirasakan menyentuh mana mana pihak. Tidak sekali sekali ia menjadi matlamat atau tujuan hamba. Hamba cuma menghuraikan kefahaman hamba sendiri dan seterusnya memohon untuk terus belajar dari sebarang perbezaan. 


Wassallam.

Sabtu, 15 Oktober 2011

Mesra Rasa Bangsa Serumpun = Kemana Hanyutnya ?


Semalam Siti Zainun Ismail membuat catatan ringkas mengenai pamiran lukisannya di Taman Ismail Marzuki (TIM) di Jakarta pada tahun 1974. Kalau tidak silap hamba ketika itu beliau yang kini adalah seorang Prof. yang dah pencen masih lagi sedang berjuang memperkasakan kekuatan akademik dirinya di ITB. 

Tujuh tahun kemudian (1981) Dato' Ghazali Ismail pula telah membawa persembahan theater "Ngoyang"nya untuk bermain di TIM itu. Kesah ini menarik perhatian hamba kerana TIM yang sukar dimasuki oleh sebarangan kumpulan yang tidak mendapat pengiktirafan yang tinggi itu sesungguhnya sudah membuka ruang untuk bentuk bentuk ekspresi dari orang Malaysia. 

Dalam tahun tahun sekitar itu kita di Malaysia pun selalulah menerima berbagai kunjungan dari berbagai kumpulan theater dan lain lain ekspresi seni dari Indonesia yang selalunya kita bawa untuk berkunjung ke banyak lokasi diseluruh negara. Pertukaran dan jalinan mesra rasa berlaku dengan spontan pada waktu itu.

Malangnya ia tidak lagi berkembang sebaik itu selepasnya. Apa yang berlaku dan kemana terlepasnya perhatian kita semua sehingga kini kita sebaliknya sering digembur kejutkan oleh isu isu yang seperti sengaja tersirat dalam rancangan mencari belah. 

Siapakah pengkaji atau pemerhati yang mampu memberi ulasan atau tanggapan untuk kita semua membuka perbincangan. Silakan.

Isnin, 31 Januari 2011

PERKONGSIAN - (bolehkah berlaku ia tanpa keikhlasan)

Tertarik dengan Catatan ringkas tetapi bermakna Ipoh Malay di Laman Ipoh Malay hamba telah mencatatkan satu komen yang tidak disedari menjadi panjang. Maka catatan berjodol Jodoh PKR Dan Kaum India Tak Panjang itu hamba salinkan semula disini bersama catatan hamba yang telah berlaku dalam tidak sedar kerana terlalu seronok itu dengan harapan untuk membuka peluang perkingsian yang lebih meluas lagi.

Jodoh PKR Dan Kaum India Tak Panjang


Tak terlambat teman nak ucapkan Selamat Keluar PKR kepada Panglima Perang PKR Cabang Kaum India, N Gobalakrishnan yang mengisytiharkan dirinya keluar PKR semalam.

Teman dapat bayangkan agenda PKR tidak pernah menyamaratakan kaum-kaum di dalamnya melainkan orang India melaksanakan aktiviti keindiannya manakala orang Melayu menjalankan aktiviti kemelayuannya.

Acara mesyuarat PKR tidaak ada bacaan doa kerana kononnya mengguris hati orang India.

PKR di DUN Hulu Kinta hanya menjalankan acara bergendang dan menari kerana ia dikuasai oleh kaum India satu ketika dulu selepas Perak jatuh ke tangan mereka.

Buktinya, program Kompleks Komuniti Taman Perpaduan yang diusahakan oleh Ahli Parlimen Tambun, Husni hanadzlah dipenuhi acara kaum India PKR.

Hari ini, diketahui umum bahawa convenience marriage antara kaum India dan PKR tak pernah berjaya.

Gobalakrishnan yang berguling di jalan mempertahankan PKR hari ini telah angkat kaki. Kaum India perlu sedar bahawa PKR hanya menjanjikan kekecewaan kepada mereka. 
Dan setelah meneliti catatan itu dengan penoh minat maka terbitlah reaksi hamba yang diturunkan semula dibawah ini. Semuga dapat kita kongsikan bersama dalam usaha mencari yang baik, benar dan merfaedah untuk kita dan masyarakat Malaysia selepas kita. Inshaallah ...

Rupa rupanya kaedah penyelesaian para pemimpin dahulu kala yang merancang tanganan intergerasi antara kaum di Malaysia ini adalah sebenarnya sudah merupakan satu cara yang bijak.

Namun kita kenalah ikhlas menerima hakikat bahawa budaya Malaysia yang telah menebal dengan bentuk budaya "parallel" berbagai kaum atas rancangan rapi penjajah itu bukan mudah diintergrasikan menjadi satu. Menjadi Budaya Malaysia yang diterima, diamal, dikagumi dan dipertahankan secara bersama.

Pimpinan masing masing kaum melalui parti masing masing yang akhirnya disatukan secara cantuman puncak seperti keujudan Parti Perikatan awalnya dan yang digantikan kemudiannya dengan Parti Barisan Nasional itu memanglah sudah betul dan sebenarnya satu cara yang bijak dan praktis dalam mencari keseimbangan yang kena diakui memang tiada dibawah jelujur budaya yang membina dan menebal semasa zaman penjajahan dahulu.

Ketiadaan itulah yang diterima sebagai realiti dan cuba ubati, dipulihkan dan diselaraskan melalui berbagai dasar yang malang. Malang kerana berbagai dasar yang pernah disarankan dari dulu hingga kepada dasar 1 Malaysia kini sentiasa mendapat tentangan, tekanan oleh hambatan kepentingan pehak pehak yang sengaja mempolitikkan dasar itu menjadi isu. Padahal pihak pihak berkenaan sebenarnya memburu kepentingan sendiri.

Disinilah timbul soal keikhlasan yang perlu dibina secara bersama di atas kerelaan bersama. Keikhlasan itu nampak benar jelas ikhlasnya dalam konsep 1 Malaysia kini. Namun ia juga mungkin akan menghadapi kegagalan kiranya pimpinan kaum kaum tidak berjaya membuktikan keikhlasan dalam mencari imbangan dan intergrasi itu.

Adakah kita rela melihat sahaja sambil menantikan kemusnahan negara Malaysia yang tentunya akan dirayakan dengan sorak hilai oleh pihak pihak luar yang memang menantikan saat itu untuk mereka pulah menjajah negara ini ??

Jumaat, 26 Februari 2010

KETUANAN MELAYU bukan NATIONALISMA TIMOR TENGAH.

Ada orang bercakap mengenai konsep Ketuanan Melayu tanpa memahami maksudnya dengan sempurna. Ada orang cuba mengandaikan Ketuanan Melayu sebagai Semangat Kebangsaan serupa dengan Nationalisma yang memecahkan Empayar Othmaniah di Timor Tengah. Catatan ringkas ini akan cuba menghurai dan memperjelaskan perbezaannya dan sekaligus membentangkan betapa uniknya Ketuanan Melayu sebagai satu konsep pemantapan keharmonian dan perpaduan negara.

Zaman sebelum kedatangan penjajahan barat dahulu alam Melayu terdiri daripada kawasan yang luas didiami oleh orang orang yang mengiktiraf diri mereka sebagai keturunan Melayu kerana asal usul mereka dari bani Melayu (Jawi dan Jawa). Kawasan ini setidaknya merangkumi keseluruhan kepulauan Asia Tenggara. Tidak perlu dirojok kepada kawasan yang lebih luas yang didiami oleh masyarakat dirujuk sebagai Melayu Polinesia kerana mungkin tidak berkait dalam tujuan perbincangan ini.

Pada zaman itu terdapat banyak kerajaan yang terletak dibawah raja raja masing. Tetapi antara raja raja itu terjalin hubungan yang baik. Malahan kebanyakannya adalah berkeluarga sama ada melalui pertalian darah atau perkahwinan. Silang kahwin adalah perkara biasa. Rakyat jelata pula bersilang ziarah sambil menjalankan kegiatan sosial, budaya dan ekonomi. Pergerakan manusia tiada halangan walau pun tidak dinapikan tahap kesetiaan masing masing adalah terhadap raja bagi kawasan hakiki sendiri. Pendek kata kehidupan manusia boleh dikatakan seperti berada dibawah satu empayar.

Kedatangan Barat dalam perlumbaan perluasan wilayah selepas zaman perang sabil dengan dasar pecah dan perintah akhirnya telah membahagikan kawasan ini kepada negara negara mengikut jajahan takluk masing masing. Perjanjian Inggeris Belanda pada 1824 telah membahagikan Semenanjung Tanah Melayu dengan Indonesia. Walau pun dari segi hubungan kekeluargaan Sumatera adalah lebih rapat dengan Semenanjung Tanah Melayu namun Sumatera disempadankan sebagai wilayah Indonesia. Sementara Pulau Borneo pula dibahagi dua; bahagian utara menjadi jajahan British dan bahagian Selatan menjadi jajahan Belanda.

Begitulah juga Kepulauan Philippina diiktiraf sebagai terletak dibawah jajahan Portugal dan Spanyol. Namun akhirnya diserahkan kepada Amerika. Catatan ini tidak berminat untuk membicarakan mengenai wilayah yang menjadi Indonesia dan Philippina kerana tujuan catatan ini adalah untuk mengalirkan kefahaman tentang kedudukan sosio politik di Malaysia kini. Sungguh pun begitu catatan ini masih juga cuba menunjukkan realiti sejarah dimana rakyat penduduk kawasan ini telah dipisah pisah dan diperintah secara berasingan dengan dibenakan budaya yang berbeza oleh kehadhiran penjajah penjajah barat. Maka jadi berbezalah rakyatnya dari segi tata cara hidup dan budayanya.

Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak dibangunkan oleh British dengan cara British dimana kegiatan ekonominya dimajukan dengan menggunakan orang orang yang dipunggah dari luar terutamanya dari negara China dan India. Dengan dasar pecah dan perintahnya, mereka membuat penempatan berbeza mengikut kaum kaum. Maka terjadilah penempatan kaum China di kawasan lombong lombong serta bandar bandar yang dibangunkan. Kaum India pula ditempatkan dalam kawasan ladang ladang.

Untuk memberi pelajaran kepada bakal pekerja yang diperlukan dalam berbagai sektor, didirikanlah sekolah sekolah dikawasan bandar bandar. Sekolah sekolah itu pula didirikan dengan menggunakan dana dari gereja gereja. Itulah sebabnya nama nama bagi sekolah sekolah awal kebanyakannya adalah mengikut nama gereja yang menyediakan dana tersebut. Maka tidak dapat tidaklah proses pengajaran serta didikan di sekolah sekolah itu akan mengandungi unsur unsur yang dikehendaki olih pihak gereja medium pengajaran pun adalah dalam bahasa Inggeris. (Menjadi jauhlah orang Melayu / Islam dari sekolah sekolah itu). Dibandar dan pekan kecil pula kaum Cina mendirikan sekolah dengan biaya dari kutipan dan bantuan persatuan persatuan kaum mereka dan proses pengajaran dijalankan dalam bahasa cina.

Ada juga ladang ladang yang mendirikan sekolah untuk anak anak pekerjanya. Maka anak anak orang India di ladang ladang berkenaan juga ramailah mendapat peluang untuk bersekolah.

Tinggallah anak anak Melayu tanpa sekolah. Bijak pandai Melayu pada masa itu pun berusahalah secara sendiri sendiri untuk membina sekolah sekolah rakyat selain dari sekolah sekolah pondok yang dibangunkan oleh bekas bekas penuntut dari Timor Tengah. Akhirnya kerajaan terpaksa akur dengan tuntutan rakyat untuk mendapatkan pelajaran dan mendirikan sekolah Inggeris dan Sekolah Melayu. Walau pun sekolah Melayu itu sekadar untuk pandai menulis, membaca dan mengira sahaja. Untuk belajar lebih tinggi kenalah anak anak Melayu masuk ke sekolah Inggeris. Hamba sendiri menyertai sekolah Inggeris yang kedua dalam negeri Terengganu DI dengan mendapat tentangan hebat dari datok hamba kerana takut hamba menjadi penganut budaya orang Kristian.

Kelangsungan perang dunia ke2 telah melihat kehadhiran Jepun ke kawasan ini dalam tahun 1941 dan pihak penjajah penjajah telah lari meninggalkan tanggong jawab mereka. Tahun 1945, apabila Jepun tewas, British telah kembali ke Semenanjung Tanah Melayu serta Sabah dan Sarawak. Hasil dari saranan rahsia pihak tertentu pihak British telah berusaha untuk menubuhkan Malayan Union yang kalau terlaksana akan meletakkan keseluruhan kuasa sebagai ketua negara di bawah Baginda Queen.

Dari sinilah gerakan kesatuan Melayu mula terjadi dengan dicetus dan dipimpin oleh Dato' Onn bin Jaafar. Akhirnya orang Melayu yang terpisah pisah oleh sempadan negeri negeri dan ragam budaya telah mula bersatu. Jadi semangat kebangsaan Melayu itu adalah semangat penyatuan bukan semangat pemisahan seperti yang berlaku di Timor Tengah (akan dibincang selepas ini).

Konsep Ketuanan Melayu pula bermula setelah Kepimpinan Melayu dirasakan terancam oleh gerakan chouvanis selepas kemasukan Singapura kedalam Gagasan Malaysia pada tahun 1963. Bahkan itulah sebabnya Singapura disingkirkan dari Malaysia. Perlu difahami dengan jelas bahawa Gerakan Ketuanan Melayu disini bukan sekadar menjaga kepentingan Melayu tetapi lebih jauh dari itu adalah kerana:

Pertamanya; selagi orang Melayu kekal sebagai pemimpin: keadilan, kestabilan, keharmonian dan keamanan negara akan tetap terpelihara kerana bumi ini adalah asalnya adalah hak orang Melayu.

Kedua selagi Melayu/Islam mengepalai pimpinan negara selagi itulah Islam dapat terbela dan dijaga kedaulatannya. Dan ajaran Islam pula mensyaratkan layanan yang saksama terhadap penganut ugama dan kaum lain.

Nationalisma Timor Tengah bermula dalam usaha Agen2 British & Pranchis bergerak untuk memecahkan Empayar Othmaniah. Ketua2 kabilah Arab dibakar semangatnya dan digalak untuk menubuhkan negara negara sendiri & menuntut kebebasan dari Khalifah Islam yang ketika itu berpusat di Turki. Malahannya ethnik Arab yang enggan akur dengan gagasan untuk menuntut penubuhan negara sendiri itu seperti puak Kurdis telah terpecah dan dibahagikan untuk tinggal secara terpisah pisah dalam negara negara Iran, Iraq, Turki dan menjadi puak puak kecil dalam negara negara Balkan.

Inilah perberbezaan yang jelas dengan Kesatuan Melayu yang kemudiannya memantap direalisasikan melalui konsep Ketuanan Melayu yang tercetus setelah British mencadangkan Malayan Union.

Dengan itu dapatlah disimpulkan bahawa semangat Kebangsaan Melayu yang dimenifestasikan melalui konsep Ketuanan Melayu itu adalah agenda penyatuan untuk menentang gejala penjajahan luar; sementara semangat Kebangsaan (Nationalisma) Timor Tengah adalah agenda pemecahan yang disarankan oleh agen agen luar.