Sabtu, 5 Disember 2009

Ketuanan Melayu = Suatu Methos ?

Dalam pelayaran siang tadi tiba tiba terserempak dengan satu catatan Hishamuddin Rais di laman Malaysia Kini. Ada perkara menarik mengenai pandangan yang cuba dikemukakan oleh Hishamuddin mengenai cerita yang dikutip dari sastera klasik Melayu. Dan seterusnya menamakan agenda Ketuanan Melayu sebagai Methos yang mustahil.


Hamba merasakan ada keperluan untuk terjemahan itu dilihat semula dari minda yang berbeza dengan asas minda Hishamuddin. Apa lagi apabila catatan itu diberikan tajuk "Siapa mangsa Ketuanan Melayu". Kerana itu hamba kutipkan sepenohnya catatan Hishamuddin itu.  Hamba akan membuat ulasan dari kacamata hamba secara langsung dicelah celah catatan itu. Bahagian tulisan hamba itu akan berwarna merah sementara catatan asal diwarnakan dengan warna kundang.


Malaysia Kini
Siapa mangsa Ketuanan Melayu?
Hishamuddin Rais
Mar 29, 01
9:06am

Al-kesah mengikut kata sahibul hikayat maka muncullah Raja Suran di Bukit Seguntang Mahamiru datang bertemu dengan Wan Empok dan Wan Malini. Maka padi pun berbatangkan tembaga, berdaunkan perak dan berbuahkan emas tanda menyambut kesampaian putera raja keturunan Iskandar Zulkarnain. Cucu-cicit benih Wan Empok dan Wan Malini inilah yang menjadi orang Melayu. Sekian adanya.

Pembaca Sejarah Melayu hari ini tidak perlu menganut fahaman pascamoden untuk menerima kutipan ceritera di atas sebagai sebahagian genre mitos.

Mitos Wan Empok dan Wan Malini dari Bukit Seguntang Mahamiru adalah sebahagian ingatan kolektif manusia Melayu untuk melihat dan merayakan kembali asal-usul keturunan mereka.

Kita patut menyedari bahawa hikayat hikayat Melayu itu tidak harus dilihat  secara literal semata mata. Sindiran simbolisnya adalah unsur lebih penting dan menarik dari itu.  Wan Empok Wan Malini adalah lambang "otak besar dan otak kecil" bermaksud minda analisa dan minda tindak. Bukit Seguntang melambangkan bahagian tertinggi dalam badan manusia iaitu kepala dan Puncak Mahamiru pula melambangkan Takhta Tempat Bertapaknya Iman. Inilah penggerak dan penentu dalam pimpinan Insan. Hikayat ini lebih kepada dorongan untuk memotivasikan jiwa Melayu walaupun kini jarang memahaminya atas menifestasi kejayaan dasar penjajahan yang berbunyi, "penjajahan budaya untuk kekuasaan politik dan ekonomi".

Mitos yang mengaitkan keturunan Melayu dengan keturunan Raja Iskandar Zulkarnain bertujuan memperkuatkan dan menghalalkan pemerintah golongan feudal Melayu di Melaka.

Ia sama seperti Maharaja Jepun mendakwa mewakili tuhan di atas bumi atau mitos Ahmad Reza Pahlavi berasal dari Raja Darius yang memerintah Parsi 3000 tahun dahulu.
 


Kelihatan disini kebencian Hishamuddin terhadap sistem feudal yang masih menjadi sebahagian daripada sistem politik di Malaysia. Kaitan asal usul keturunan raja raja Melayu disini lebih banyak memberi kesan kepada jatidiri jiwa Melayu daripada mengagungkan Raja Raja. Kalau Hishamuddin nak tahu susul galur keturunan Raja Raja Melayu jemputlah membaca buku buku mengenai kesah asal usul Wali Songo yang digalurkan keturunannya sampai ke 5 orang cucu Hassan cucu Rasullullah. Dari keturunan itulah lahirnya; melalui silangan perkahwinan, keturunan Raja Raja Melayu. Ada terdapat beberapa naskah carta susul galur ini dan hamba sendiri pernah meluhatnya di rumah seorang Syed keturunan Al Idrus di Kuala Terengganu. Salinan ini pernah disalinkan oleh Allahyarham Tan Sri Syed Nasir.

 
Mitos diwujudkan dalam suasana budaya dan lanskap politik tertentu. Semua mitos adalah social construction untuk tujuan tertentu. Ada yang bertujuan baik dan tidak kurang juga mitos diwujudkan untuk tujuan jahat.

Bukan kesalahan atau kekolotan untuk mempercayai sesuatu bentuk mitos - jika mitos itu bertujuan merayakan kehidupan. Manusia kuno merayakan seluruh kehidupan mereka berpandukan pelbagai mitos dan legenda.

Hari ini, kemodenan (modernity) telah meretakkan banyak mitos. Ada yang pecah berderai-derai untuk menjadi bahan ketawa. Ada yang masih dipercayai walaupun si penganutnya mengetahui bahawa kepercayaan mereka itu hanyalah mitos.

Kemajuan sains dan kemodenan manusia berjaya memperlihatkan banyak daripada mitos-mitos ini tidak masuk akal dan tidak berdiri dalam alam rasional.

Hamba kena membantah kalau kelahiran sesuatu catatan ceritera itu dikatakan atas tujuan tidak baik. Tujuan diwaktu kelahirannya tetap baik. Yang menjadi nampak seperti tidak baik itu adalah perspektif yang berbeza dari perspektif pencatat dari masyarakat yang malahirkannya. Hamba juga tidak pernah merasa enak menggunakan klasifikasi melulu sebagai mithos kerana perspektif hamba adalah dari pelbagai sudut. Sebagai contoh telah digarapkan satu urutan simbolisma diatas.

Bagaimanapun, keretakan mitos akibat kemodenan itu tidak pula bermakna manusia ketandusan mitos. Manusia moden juga terus mencipta mitos-mitos baru dalam suasana budaya dan lanskap yang baru.

Untuk manusia Melayu, mitos paling moden yang dicanangkan dalam konteks budaya politik hari ini ialah ‘Ketuanan Melayu'.

Kadang-kala mitos yang dianggap sebagai fakta ini timbul terbuka di persidangan separa rasmi. Mitos ini dipungut pula untuk disebarkan melalui media arus perdana berbahasa Melayu.

Sama seperti mitos-mitos kuno, mitos tentang ketuanan Melayu ini sering berjalan secara senyap.

Mitos ketuanan Melayu yang dijual sebagai fakta boleh kita fahami seperti ini: Malaysia asalnya kepunyaan Melayu. Melayu wajib bersatu. Kalau tidak, ketuanan Melayu akan pupus.

Pada satu peringkat Hishamuddin mengatakan konsep Ketuanan Melayu itu "dipungut pula untuk disebarkan melalui media arus perdana berbahasa Melayu". Sedangkan beliau juga berkata, "tentang ketuanan Melayu ini sering berjalan secara senyap". Nampak benar Hishamuddin teraba raba dengan niat untuk memperlekeh dan menyelar. Konsep Ketuanan Melayu ini juga diistilahkan sebagai  mitos yang bukan fakta. Untuk makluman Hishamuddin cernaan konsep Ketuanan Melayu ini sebenar dan sesungguhnya telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Silalah baca sendiri sebelum menyelar melulu begitu. Janganlah menggunakan ayat ayat seperti, "dijual sebagai fakta". Tidak ada dagang jual dalam hal ini ia memang fakta. Cuma kini ia dipersoalkan oleh orang orang yang derhaka sahaja.


Konsep ketuanan Melayu ini amat senang untuk difahami, berbanding mitos-mitos kuno yang mempunyai unsur-unsur misteri, seram dan magis.

Malah jika mitos ketuanan Melayu ini diberi sedikit perhatian, maka akan jelas kelihatan kedangkalan dan lompongnya, hinggakan susah untuk dipercayai lagi.

Konsep mitos ketuanan Melayu itu menjadi bertambah lompong jika mereka sendiri tidak memiliki asas-asas ekonomi dan punca-punca pengeluaran yang boleh mempengaruhi arah dan tujuan budaya politik negara ini.

Memiliki ekonomi bukan bermakna memiliki sebuah warong, satu lot saham amanah Mara atau sebuah Proton Saga. Pemilikan seperti ini adalah pemilikan kepompong. Memiliki kepompong sama sahaja ertinya dengan tidak memiliki apa-apa pun.

Kalau nak dikatak kuasa ekonomi ditangan orang Melayu itu lemah bolehlah hamba setuju. Namun itu bukan lompong dalam konsep Ketuanan Melayu. Itu kelemahan ekonomi yang sejak merdeka telah diusahakan melalui berbagai dasar. DEBdan DPN. Pencapaiannya memang banyak masaalah apa lagi dengan berbagai ganguan dari pihak pihak yang ada hasad dengki dan khianat. Namun ia bukan lompong kepada Ketuanan Melayu tetapi kelembapan pencapaian dalam pembinaan capaian ekonomi setelah lemah dilemahkan selama 446 tahun. Yang menjadikan kedaulatan Ketuanan Melayu itu agak lemah kini ialah sengketa dan perselisihan sesama Melayu dan gangguan dari orang orang yang tiada kesetiaan kepada negara ini.

Asas ekonomi wajib dijadikan petanda utama ketuanan yang hakiki. Selagi asas-asas ekonomi dan punca-punca pengeluaran ini tidak dimiliki oleh seluruh manusia Melayu, tidak mungkin konsep ketuanan Melayu itu wujud.

Malah segelintir manusia Melayu yang "dihebohkan" sebagai pemilik ekonomi hasil Dasar Ekonomi Baru ini hanyalah cukong-cukong yang menjadi kuda tunggangan kaum pemodal yang lebih besar.

Pemodal yang lebih besar inilah yang sebenarnya memiliki ekonomi dan menjadi tuan di negara ini. Dengan modal yang besar mereka boleh mempengaruhi garis, arah dan mengurus lanskap budaya politik di negara yang sarat dengan ketuanan Melayu ini.

Konsep ketuanan ini juga tidak masuk akal dalam budaya politik majmuk Malaysia hari ini. Jika diterima konsep ketuanan Melayu, pasti ada yang menjadi hamba orang Melayu. Jika ada tuan, sudah pasti ada hamba. Tidak ada tuan, tidak mungkin wujud hamba.

Dalam mitos ketuanan Melayu, siapa pula yang ingin dijadikan hamba - manusia-manusia Cina, India, Kadazan, Murut, Orang Asli, Jakun, Temiar atau siapa?

Juak-juak dari pelbagai parti politik yang mencanangkan mitos ketuanan Melayu ini tidak pula berani menyebarkan mitos ini dengan terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia.

Jadi, ada yang berselindung di belakang nasionalisme sempit dan ada yang berselindung di belakang agama dalam usaha mereka untuk menyebarkan mitos ketuanan Melayu ini.

Ada juga kempen menyebar mitos ini dilakukan dengan tersusun secara "gelap". Ada golongan protagonis politik Melayu dari semua parti secara senyap-senyap berbisik-bisik menyebarkan mitos ini.

Ada juga pencanangan yang lebih tersusun terutama untuk anak-anak muda pelajar universiti. Mereka sering dikumpulkan dalam khemah-khemah rasmi atas biayaan kerajaan untuk mendengar mitos ini. Mereka akan ditakut-takutkan bahawa ketuanan Melayu sedang dicabar dan akan pupus.

Mitos ketuanan Melayu sama seperti mitos raja turun dari langit atau raja sebagai wakil tuhan untuk memperkukuhkan sesuatu golongan atau kumpulan.

Mitos ketuanan ini bukan bertujuan merayakan kehidupan orang Melayu tetapi untuk memperkukuhkan segelintir pemodal Melayu.

Manusia Melayu tidak perlu ditakut-takutkan dengan mitos bahawa ketuanan mereka akan pupus. Manusia Melayu seharusnya dihadapkan dengan fakta dan bukan dengan mitos ketuanan Melayu.

Ketuanan Melayu tidak pernah wujud. Ketuanan yang wujud dalam konteks budaya politik hari ini ialah ketuanan pemodal yang memiliki punca-punca pengeluaran negara ini.

Kaum-kaum pemodal inilah yang sedang menjadi tuan untuk menggariskan pembudayaan anak cucu-cicit Wan Empok dan Wan Malini. Lalu ikan di lubuk mati kehausan, padi di huma kuning mengering. Sawah serelong tinggal sekajang dan tergadailah tanah sekangkang kera.

Kuasa Melayu yang menjadi tuan kepada negara Malaysia sejak dulu hingga kini dan akan datang pun tidak pernah berhasrat atau dihasratkan untuk menapikan hak hak orang lain. Hishamuddin jangan cuba mengelirukan rakyat negara ini. Tidak ada pihak yang akan menjadi hamba seperti hasrat Hishamuddin. Dasar dasar kerajaan ialah untuk membantu golongan yang lemah dengan hasrat untuk membina kesimbangan dalam ekonomi. Itu sahaja. Tiada siapa yang jadi mangsa atau akan jadi mangsa. Janganlah cuba cetuskan kegelisahan, walau pun tuan memang pakar dalam hal itu kerana mendapat latihan dan pengalaman yang luas.



Akhirnya jelaslah bahawa Hishamuddin cuma sekadar mahu menulis dan menyelar sahaja. Dia tidak faham konsep Ketuanan Melayu yang bermaksud tuan kepada negara ini; ia itu Ketua Negara. Kedaulatan Ketua Negara itu cumanya diperkukuhkan oleh kuasa politik yang kini walau pun masih di tangan orang Melayu tetapi ia cukup lemah. Apa lagi dengan gangguan orang orang seperti Hishamuddin itu sendiri. Walau bagaimana pun Ketuanan Melayu tetap akan dipertahankan. Sahabat Hishamuddin yang masih besar cita citanya pun sedang melunsur lemah kini.

3 ulasan:

  1. Hishamuddin adalah seorang yang anti feudal dan anti kapitalis. Beliau mahu Malaysia ini menjadi sebuah negara sosialis dan mempunyai seorang Presiden seperti Anwar Ibrahim. Pemikiran seperti Hishamuddin ini memang ada di mana-mana negara pun dan perkembangan politik mutakhir ini di mana pemikiran seumpama ini semakin membiak di kalangan generasi muda di Malaysia.

    Malaysia mempunyai latar belakang sejarah yang berbeza. Pemahaman tentang konsep ketuanan Melayu itu sering diputarbelitkan. Lebih malang ianya diperlekeh oleh orang Melayu seperti Hishamuddin yang mendapat sendiri tempias daripada kelebihan beliau sebagai pribumi.

    Hishamuddin mungkin kurang berpuashati dengan pencapaian orang Melayu dalam ekonomi. Berdasarkan konsep ketuanan Melayu itu hanya segelintir Melayu yang kaya dan memonopoli kekayaan itu. Betulkah begitu?

    Bagaimana dengan golongan pertengahan Melayu yang semakin ramai di samping kelompok yang semakin mengecil dari kalangan miskin tegar?

    Tempoh 52 tahun sudah cukup untuk melihat kebangkitan orang Melayu yang bebas dari belenggu pemikiran penjajah walaupun masih ramai yang kurang berpuashati atas kekayaan yang tidak sama rata di kalangan kita. Namun untuk membebaskan Melayu daripada hasad dengki dan khianat itu nampak tiada perubahan dalam diri orang Melayu itu. Hishamuddin adalah seperti Sang Rajuna Tapa yang wujud dalam setiap zaman bagi melihat agar Melayu itu terus hancur dan musnah.

    BalasPadam
  2. salam
    ana selalu juga mengikuti blog hishamudin, corak pemikiran memang mengelirukan.

    BalasPadam
  3. Beliau ni kalau tak silap tak sempat dapat Ijazah. Berdemonstrasi bersama Anuar atas sebab yang palsu. Diburu dan menjadi pelarian dibeberapa negara termasuk Russia. Aneh gak dia bebas bergerak diluar negara. Masa Anuar masih berkuasa dan sedang dalam selindung menyerang Tun M dia di buka peluang oleh sokongan Anuar untuk pulang. Betul kata Amirhamzah dia penganut sosialisma. Geng2 dia masa belajar dulu semua mengesahkan.

    BalasPadam

Siapa pun berhak kata apa sahaja. Cuma hak itu sah selagi tanggong jawabnya masih ada. Maka siapa pun yang merasakan ikhlas bertanggong jawab, silakanlah catat apa sahaja. Semuga terbuka lorong pemikiran lebih jauh lagi bagi kita semua.