Entah mengapa Ogos kali ini aku cuma kaku terpaku tanpa bilangan bendera diarak pada kereta ku. Bila nadi ditapak tangan ku dirapatkan untuk merasakan gegaran gelombang dari nadi hati bahangnya masih dapat ku rasakan serupa dengan tahun tahun yang lalu. Lama aku bermenong mencari jawapan. Otak fikirku tidak dapat mencari maksud dari dadarasa itu.
Cuma kali ini tumpuan fikiran ku memang berbeza dari tahun tahun terdahulu. Dulu bila ogos tiba aku mula memutarkan ingatan ku kepada jerih gigih para pejuang dahulu kala. Betapa pengorbanan mereka. Namun tahun ini otak fikirku terlalu berlegar kepada ancaman yang dihadapi oleh negara dan bangsa kini. Memang parah. Otak fikir yang selalunya berbeza dengan orang banyak ini terlalu lekat terikat kepada betapa semua lapisan dari struktur pimpinan dan ikutan bangsa kini sudah menjadi begitu parah punahnya.
Betapa jari jari dari semua lapis dan pihak sudah bertukar menjadi keris sundang berbacang. Tuduh menuduh tidak keruan. Aku menggali terus mencari isyarat petunjuk kepada olah puncanya. Barangkali kita sidah diresapi dengan begitu selinap dan teliti halus sehingga sudah tidak kelihatan lagi. Tidak mungkin kita mampu melawan musuh kita itu kerana kita sendiri sudah menjadi sebahagian dari mereka.
Lihatlah kepada beberapa perbalahan dalam persaingan sesama kita. Bagaimana kita menangani segalanya. Kita sudah tidak peduli kepada kemusnahan infrastruktur dan struktur yang menjadi rumah dan tapak kepada takhta singgahsana keutuhan kuasa bangsa. Terpacak tegap dalam fikiran cuma "aku mesti menang" dan kita tidak peduli apa sahaja.
Kadang kadang pandai kita mengatakan asal rambut tidak putus dan tepong tidak terburai; tetapi dalam menyaran dan merangka tindakan penyelesaian tepong dan rambut itu akan selamat kedua duanya cuma kalau kita sendiri berada diluar dulang itu. Namun apabila kita sendiri yang dikiaskan sebagai rambut atau tepung itu sudah jelaslah nilai yang kita anut. Sebagai tepung kita akan katakan potong potong sahaja rambut itu supaya mudah ditarik buang.
Begitu juga sebaliknya kalau kitalah yang dikiaskan sebagai rambut; kita akan katakan cubit kelar sahaja tepung itu supaya mudah rambutnya dilurut keluar. Semuga ikhlaslah kita menyemak sistem nilai yang kita anut. Janganlah pula kita lupa bahawa tepung dengan rambut itu menjadi berpalut kerana kita sendiri pun ada sumbangan menjadikan ia begitu.
Apabila tebing dihakis dan hampir runtuh janganlah kita menyalahkan hujan sahaja. Sedangkan ada pokok yang sudah kita tebang dan sudah mula reput akar akarnya. Sedangkan ada batu yang sudah kita bugar untuk menjadi alas kaki ditangga rumah kita. Sedangkan ada aur ditepung pernah kita tebas untuk diambil buluh dan akar akarnya bagi membina rakit buat kita bergalah ke.......... .... mana mana sahaja.
Tulisan ini tidak disengajakan. Tiba tiba sahaja jadi begini. Tetapi barangkali ada perkara yang boleh membawa kita semua kealam fikir yang lebih mendalam. Wallahuaalam.